Saturday, 25 July 2015

“Perpaduan Asas Kecemerlangan Negara”.


Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat,
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,
Muafakat membawa berkat,
Hidup bersatu, negara maju….

Ungkapan-ungkapan ini semuanya berkaitan persefahaman, bulat kata, bulat hati yang menjurus kepada perpaduan, bertetapan dengan tajuk yang akan saya dibicarakan ini iaitu “Perpaduan Asas Kecemerlangan Negara”.

Kita sedia maklum, mana-mana negara di dunia sangat mengkagumi negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum tetapi hidup dalam aman dan damai. Kedamaian yang kita kecapi ini tidak akan tercipta andai tiada perpaduan. Perpaduan Negara adalah tunjang dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada ekonomi, sosial mahu pun politik.  

Menerusi perpaduan, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan bagi menjamin kesejahteraan. Suasana politik negara yang stabil juga bergantung kepada perpaduan. Sekiranya perpaduan perpaduan rakyat rapuh dan lemah, negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman. Rakyat yang berpecah-belah dan tidak bersatu-padu akan menyebabkan huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Suasana sebegini pastinya menjejaskan kedaulatan negara, kekukuhan ekonomi dan kestabilan negara. Perpaduan yang kukuh dan kuat merupakan pemangkin kepada kecemerlangan negara. Dengan wujudnya perpaduan dan negara yang aman damai, kita mampu mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Kejayaan yang dicapai membolehkan kita menjadi bangsa yang bermaruah dan berdikari.

Kita harus belajar dari peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang pernah melanda negara ini agar pisang tidak berbuah dua kali. Perpaduan rakyat negara ini telah tergugat akibat peristiwa pahit itu. Sebagai langkah untuk menyatu-padukan rakyat negara ini, kerajaan telah melancarkan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan Negara. Prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara merupakan kunci untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum negara ini.

Kalau kita menelusuri sejenak suasana kini di negara kita. Ya, tidak dapat disangkal, bibit-bibit keruntuhan perpaduan telah terjelma.

Rakyat yang sepatutnya menjaga perpaduan tetapi cenderung ke arah perpecahan. Sudah ada yanggila kuasa, mendabik dada, mencabar ketenteraman negara.

Tiba masanya mekanisme kawalan perlu diperkata. Sang durjana peruntuh negara perlu dicantas segera.  Aktiviti penjana perpaduan pula perlu direncana serancak-rancaknya. Rumah terbuka, gotong royong, kenduri kendara malahan aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum perlu diperkasa sepanjang masa.

Kalau kita hanya berbicara betapa pentingnya perpaduan tetapi dalam masa yang sama kita lupa untuk memupuk perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara, saya yakin dan percaya, kehancuran negara bakal menjelma. Mudah-mudahan kehancuran itu hanya khayalan saya yang sentiasa dahagakan kesejahteraan negara kerana “Perpaduan Asas Kecemerlangan Negara”.


Nukilan saya:
Azman Yaakob 26 Julai 2015

Friday, 24 July 2015

'Alah bisa, tegal biasa'

Tetiba terlintas ungkapan ini di kotak fikiran apabila tersangkut-sangkut di beberapa tempat ketika ambil masa sedikit membaca Al-Quran. Ungkapan ini boleh diringkaskan maksudnya "kerja menjadi senang apabila acap kali dilakukan.
Kalau kita buat sesuatu acap kali maka dengan mudah kita laluinya pada waktu-waktu yang lain. Contohnya, kita masuk ke taman perumahan yang banyak bonggol. Kalau dah hari-hari melalui kawasan bonggol yang sama sudah barang tentu kita dah dapat agak kawasan mana yang boleh laju atau perlahan.
Begitu juga kalau mendalami sesuatu pelajaran, Dulu waktu saya belajar, berulang kali saya tulis benda yang sama di atas kertas-kertas buruk atau kadang-kadang di papan-papan hijau di kelas-kelas kosong yang tiada orang kerana saya sedar otak saya agak lambat mengingat kembali apa yang diajar guru. Perkara yang sama saya buat hinggalah ketika menyambung pelajaran ke universiti. Saya sedar, kalau sekadar membaca tanpa ditulis berulang kali pasti sukar untuk saya mengingat kembali apa yang dibaca. Dalam pendidikan mudahnya disebut "latih tubi".
Berbalik kepada perkara pokok iaitu membaca Al-Quran. Alhamdulillah saya sedar, rupanya banyak kelemahan sekarang, membaca tersangkut-sangkut bukan dek kerana mata yang rabun tetapi kerana dah jarang-jarang meluangkan masa menatap kitab Allah ini. Ya Allah....ampunkan kelalaian hambamu ini.