Sunday 2 August 2015

XPDC Gunung Kinabalu: Latihan 1 - Bukit Broga, Semenyeh, Selangor.

1 Ogos 2015 (Sabtu) - Tepat 6.00 pagi dengan semangat berkobar-kobar saya terus memandu dari Kinrara, Puchong ke destinasi yang dinanti-nanti iaitu Bukit Broga atau Broga Hill (juga dikenali sebagai Bukit Lalang). Dalam fikiran tak terbayang apa-apa cuma risau kalau-kalau kaki ini tak mampu melangkah cabaran pertama ini. 6.50 pagi dah sampai ke kawasan kaki Bukit Broga. Hampir penuh kawasan parking seluar 1 ekar (agak2 aje) di bawah pokok-pokok ladang kelapa sawit. Bayar RM2.00 masuk parking. Emm senang parking tapi terfikir juga dalam hati betapa ramainya orang dan banyak juga rasanya tokey parking ini collect sehari. Kaya, kaya, kaya...
 
Selepas tunggu kawan-kawan seperti dijanjikan sekitar 7.30 pagi kami mula bergerak mendaki. Sebelum tuu buat senaman ringan dibimbing oleh Pn. Helen. Sewaktu kami mendaki, ramai pendaki yang dah mula turun, ada yang membawa lampu picit yang pastinya mereka ini naik awal subuh untuk menikmati matahari terbit.
Seawal perjalanan, saya lihat ada banyak tali dipasang khususnya di kawasan-kawasan curam bagi memudahkan pendakian. Ramai juga la couple2 khususnya berbangsa Cina dan Melayu. Mungkin mengambil kira bukit ini adalah lebih kepada lokasi untuk riadah, memang sangat sesuai bagi semua peringkat kecuali kanak-kanak kecil. Ada juga kanak-kanak berumur 10 hingga 15 tahun mendaki ditemani ibu bapa.
Setelah hamper 45 minit mendaki, kami sudah mula sampai di puncak Broga. Cuma, saya yang termengah-mengah dan menjadi orang terakhir apabila sampai di puncak kedua sebelum ke puncak utama. Ingat pesan Pn. Helen "jangan paksa diri" saya pun berehat seketika di puncak kedua terakhir bagi menikmati 100 plus dan sebuku roti, Kawan-kawan lain terus mendaki hingga ke puncak. Memang tepat sangkaan saya, di puncak Broga ini begitu indah sekali pemandangannya seperti yang saya lihat di blog-blog lain yang kawan-kawan pos. Yang pasti pemandangan indah ditambah dengan udara yang segar cukup membuat kita puas bila sampai ke puncak.
Sekitar jam 9.30 pagi kami mula turun perlahan-lahan sambil sembang-sembang. Dalam perjalanan turun saya beriringan dengan seorang brother (berumur 50-an) yang baru dikenali berasal dari Shah Alam. Katanya ini pertama kali mendaki Bukit Broga walaupun banyak sudah bukit-bukit ditawan khususnya di Papua New Guinea (bertugas di sana). Banyak juga ceritanya khususnya langkah-langkah keselamatan dan cara-cara menggunakan tongkat. Sempat brother tuu menasihati remaja-remaja yang turun dengan laju sambil berlari. Memang betul...jika tersilap langkah menuruni bukit secara berlari memang boleh mengundang padah.
 
Jam 10.30 pagi, kami semua sudah sampai di kawasan parking. Sambil minum bekalan air yang dibawa sempat juga lihat-lihat t.shirt dan tongkat yang dijual oleh seorang auntie. Sebelum balik terus beli satu tongkat jenama Better dengan harga RM25.00 sebagai kenang-kenangan.
Bagi yang berminat dengan aktiviti yang mencabar seperti mendaki, saya syorkan anda semua bermula di sini... Bukit Broga.

No comments:

Post a Comment